Dua jurutera rugi RM251,620 ditipu sindiket penipuan

0
172

DUA jurutera lelaki “berputih mata” apabila wang simpanan mereka sebanyak RM251,620 lesap ditipu sindiket penipuan dalam talian dalam kejadian berasingan di Seberang Perai Tengah, di Bukit Mertajam minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San berkata dalam kejadian pertama, seorang jurutera sebuah kilang di Kulim, Kedah yang tinggal di Machang Bubok di sini mendakwa kerugian RM126,000 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja tidak wujud dan membuat laporan polis pada 22 Mac lepas.

“Lelaki berusia 41 tahun itu pada mulanya melihat iklan kerja sambilan di Facebook sebagai “data entry” pasa 18 Mac dan mangsa kemudiannya menekan pautan diberikan sebelum berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan suspek yang kemudiannya memberi tugasan yang perlu dibuat kepadanya.

“Mangsa mendakwa diarah membuka aplikasi YouTube dan mencari nama halaman yang diberikan sebelum perlu “like” (tanda suka) serta “subscribed” (melanggan) seterusnya “screenshot” (tangkap layar) tugasan yang selesai dibuat sebelum dibayar RM10 bagi setiap tugasan. Lelaki itu mendapat RM50 bagi lima tugasan pertamanya,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata mangsa juga dijanjikan komisen sebanyak 20 peratus bagi setiap tugasan namun dia perlu membayar sejumlah duit terlebih dahulu kepada sindiket itu bagi mendapatkannya dan mangsa yang percaya telah melakukan sebanyak 10 transaksi pindahan wang ke tujuh akaun berbeza membabitkan jumlah RM126,000 sejak 18 hingga 22 Mac.

Tan berkata setelah wang itu dimasukkan, mangsa bagaimanapun tidak menerima sebarang komisen yang dijanjikan dan percaya telah menjadi mangsa sindiket penipuan lalu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata jurutera kedua yang berusia 27 tahun pula mendakwa kerugian RM125,620 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan cabutan bertuah yang tidak wujud dengan menawarkan hadiah sebanyak RM326,000 dalam kejadian 17 Mac lepas.

“Mangsa yang tinggal di Bukit Tengah pada mulanya menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri dari sebuah syarikat di Hong Kong dan meminta mangsa meneka lagu untuk memenangi hadiah cabutan tersebut,” katanya.

Beliau berkata suspek kemudian menghubungi mangsa sekali lagi sebelum memaklumkan mangsa memenangi cabutan bertuah tersebut namun perlu membayar sejumlah wang bagi proses pendaftaraan akaun.

Menurut Tan mangsa yang percaya dan teruja kerana memenangi sejumlah besar wang telah melakukan pemindahan ke tiga akaun berbeza sebanyak RM125,620 dan dia hanya menyedari menjadi mangsa tipu selepas suspek meminta tambahan RM50,000 lagi daripadanya dan pada ketika itu mangsa telah kehabisan wang.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket tersebut dan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here