Lelaki bakar rumah selepas berang diikat rakan ketika mabuk

0
181

SEORANG lelaki warga Indonesia bertindak membakar rumah didiami mereka di sebuah flat di Taman Kinrara 1, Bandar Kinrara, Selangor.

Tindakan itu dilakukan selepas berang diikat oleh rakan serumah ketika mabuk dan berkhayal dalam kejadian pada pukul 6.51 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan, siasatan awal mendapati, suspek berusia 34 tahun itu telah diikat dan dikurung oleh rakan serumahnya sebelum berjaya melepaskan diri.

“Suspek kemudian membakar rumah tersebut disebabkan terlalu marah dengan rakan yang mengikatnya.

“Maklumat awal diterima bahawa dua lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak menginap di rumah berkenaan.

“Suspek dikatakan telah mengambil dadah jenis syabu yang mengakibatkan khayal tidak sedarkan diri serta meracau, menyebabkan rakan rumahnya mengikat dan mengurungnya di dalam sebuah bilik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Anbalagan berkata, polis menahan suspek dalam keadaan mabuk yang disyaki menjadi punca kejadian tersebut.

“Polis masih menjalankan siasatan mengesan mangsa yang terlibat secara keseluruhan dalam kes ini dan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” ujarnya, lapor Astro Awani.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435/307 Kanun Keseksaan, tambah beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here