Kepimpinan baharu UMNO pro-Zahid, tetapi parti masih terbahagi

0
167

UMNO masih terbahagi walaupun kepimpinan baharunya sejajar dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang enggan dikenali berkata, bukan rahsia lagi bahawa kepimpinan tertinggi terdiri daripada ‘orang Zahid’.

“Masih wujud dua kem dalam parti, satu kem pro-Zahid dan satu lagi menentangnya.

“Kem menentang Zahid merasakan Presiden UMNO itu sepatutnya berundur berikutan kekalahan teruk parti itu dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) lalu,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

Ahli MKT itu berkata, langkah Zahid mengelilingi dirinya dengan mereka yang sealiran dengannya mengukuhkan kedudukan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu sebagai presiden.

“Dan ini bonus untuk kerajaan perpaduan kerana ia akan kekal utuh. Jika kedudukan Zahid terancam, ada kemungkinan kerajaan tumbang,” dakwanya.

Sementara itu, seorang pemimpin bahagian menafikan bahawa barisan kepimpinan semasa adalah rancangan ‘Zahid dan Najib’.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digantikan oleh Zahid sebagai Presiden selepas BN digulingkan pada PRU14.

Pemimpin itu berkata, UMNO bukan milik mana-mana individu atau keluarga.

“Kami mahu parti kekal relevan dan menjadi pilihan utama rakyat,” katanya.

Pada Selasa, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pengaruh Najib belum habis dalam UMNO.

Katanya, barisan MKT baharu parti itu terdiri daripada ramai ‘penyokong tegar’ bekas Presiden UMNO yang dipenjarakan itu.

Walaupun Zahid kekal menguasai UMNO, Khairy berkata, Najib masih memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan parti.

Khairy menamakan Ketua UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Lokman Noor Adam sebagai antara 25 ahli MKT baharu yang merupakan penyokong kuat Najib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here