TIDAK sampai 48 jam memegang jawatan sebagai Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kubang Pasu, Zulkifli Md Isa membuat kejutan apabila mengumumkan meletak jawatan secara serta-merta, hari ini.
Menurut beliau yang menang jawatan berkenaan tanpa bertanding pada Pemilihan UMNO Penggal 2023-2026 Sabtu lalu, tindakan berkenaan diambil susulan dirinya dinafikan hak atas jawatan terbabit bagi membuat beberapa keputusan penting ketika pemilihan dan mesyuarat peringkat bahagian berlangsung.
Dakwanya lagi, usahanya untuk membanteras penipuan ketika proses pengundian juga telah dinafikan dengan beberapa cadangan seperti penggunaan pen merah dan pengenalan calon yang bertanding juga tidak dilaksanakan.
Selain itu, Zulkifli turut menyatakan bahawa usahanya untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di bilik pengiraan undi dengan menggunakan duit poket sendiri juga ditolak mentah-mentah.
Tambahnya, sikap yang diambil Setiausaha Bahagian juga dikatakan telah merendah-rendahkan kedudukan beliau memandangkan dirinya dianggap sebagai ‘orang baharu’ di dalam organinasi UMNO Kubang Pasu.
“Saya (juga) pada hari pengundian (telah) meminta kertas undi lebihan daripada (keseluruhan) kehadiran (perwakilan untuk disimpan), sebagai contoh UMNO Kubang Pasu perwakilan ada 684 orang, kehadiran 578 orang, jadi (kertas undi bagi) yang tidak hadir saya minta kertas itu diberikan kepada saya agar tidak disalah guna.
“(Permintaan itupun) dinafikan juga, jadi hak saya dimana sebagai Pengerusi Tetap, saya (hanya) jadi puppet (atau boneka kepada Setiausaha UMNO Kubang Pasu),” katanya, lapor Astro AWANI.
Beliau berkata demikian ketika sidang media khas yang diadakan di Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh, di Changlun pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Zulkifli memaklumkan bahawa keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tetap adalah sebagai satu tindakan yang mengutamakan integriti agar dirinya tidak terpalit serta dianggap bersubahat dengan gerakan tertentu yang bertindak untuk menipu perwakilan.
“Saya bukan apa, saya cuba lakukan yang terbaik, ini dalam usaha kita hendak memilih pemimpin UMNO di Kubang Pasu ini, biarlah kita jujur kepada perwakilan, sebab kita akan hadapi PRN, kalau dari segi kita atur pemilihan (pun sudah) ada penipuan dan diatur oleh kuasa eksekutif, jadi sampai bila UMNO akan build up reputation (parti),” katanya lagi.
Tambahnya, pemakluman mengenai perletakan jawatan berkenaan telah dihantar kepada Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar petang semalam melalui aplikasi WhatsApp. Manakala surat rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada UMNO Bahagian Kubang Pasu, Badan Perhubungan UMNO Kedah, dan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) dalam masa terdekat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.