Kelemahan PH-BN sendiri jadi punca penolakan PRN kali ini

Oleh MOHD. AZAM MOHD. ATAN

NAMPAK begitu ketara musuh Perikatan Nasional (PN) bimbang dengan gelombang sokongan terhadap gabungan itu yang memuncak semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berterusan dan makin meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri.

Maka tidak hairanlah muncul pelbagai dakwaan untuk menafikan sokongan rakyat yang boleh diterjemahkan di peti undi PRN Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor dalam beberapa bulan lagi.

Dakwaan paling tidak berasas ialah dengan mendakwa bahawa akan berlaku pemindahan pengundi penyokong PN ke negeri Selangor dan kononnya dengan tindakan itu, Selangor yang kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) boleh ditumbangkan.

Mereka mendakwa, individu yang pernah mengundi di negeri yang tidak terlibat PRN akan ditukarkan ke negeri-negeri PH supaya dapat mengundi sekali lagi.

Dakwaan itu ditimbulkan bekas calon PH bagi kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRU15 lalu, Saipolyazan M. Yusop menerusi Twitter beliau.

Ia kemudiannya dinafikan Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir yang menyifatkan kenyataan itu tidak berasas dan hanya cakap kosong yang jelas menunjukkan mereka gementar dengan sokongan rakyat terhadap PN.

Kes-kes pendakwaan terhadap pemimpin Bersatu yang dihadapi oleh Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yasin dan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan juga tidak akan dapat mengubah pendirian rakyat yang terus kekal bersama PN.

Bagi penulis sendiri, walau apa pun dakwaan dan kes mahkamah melibatkan pimpinan PN, ia tidak akan dapat mengubah pendirian pengundi yang sudah tekad untuk menyatakan pendirian mereka di peti undi PRN enam negeri.

Walaupun ia hanya melibatkan enam negeri, ia adalah simbolik penolakan dan protes terhadap pemerintahan kerajaan ketika ini yang tidak menunjukkan prestasi diharapkan dalam mentadbir negara dan menangani isu kos sara hidup.

Lagi satu, penulis melihat kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam Kongres Khas PKR semalam bahawa PN tidak mampu menawan negeri pimpinan gabungan PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebagai reaksi untuk ‘menyedapkan hati’.

Rafizi terpaksa berkata demikian sedangkan realiti sebenar gelombang kebangkitan ketika ini boleh menggugat kerajaan negeri di tiga negeri itu, lebih-lebih lagi respons yang ditonjolkan anak muda di peringkat akar umbi menunjukkan betapa kukuhnya sokongan terhadap PN.

Anak-anak muda sebenarnya sudah muak dengan kepimpinan sedia ada dan mahukan perubahan ke arah lebih baik kerana dalam tempoh beberapa penggal di bawah PH, banyak isu-isu di peringkat negeri yang tidak ditangani dengan baik.

Ditambah pula dengan prestasi semasa kerajaan pusat yang lemah, maka ia akan menjadi faktor penolakan yang kuat terhadap kerajaan gabungan PH-BN yang pada ketika ini dilihat tidak menunjukkan minat untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto yang pernah ditabur sebelum PRU15.

Kerajaan PH-BN jarang mengulas mengenai keperluan untuk menunaikan janji-janji berkenaan dan makin parah apabila dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan baru-baru ini, tiada insentif menarik ditawarkan kepada rakyat.

Makin mengecewakan, masalah-masalah sedia ada masih gagal ditangani dengan sempurna dan pada masa sama ungkapan ‘spin’ atau ‘putar alam’ meniti di bibir pemimpin kerajaan bagi menafikan permintaan rakyat.

Banyak lagi kelemahan PH-BN yang boleh dikaitkan untuk menjadi faktor kuat penolakan pengundi pada PRN yang dijangka diadakan pada Julai depan.

Kesimpulannya, selain daripada gelombang kebangkitan rakyat untuk menyokong PN pada PRN kali ini, faktor kelemahan ditonjolkan kerajaan PH-BN juga menjadi sebab bahawa gabungan itu akan ditolak dengan lebih kuat pada kali ini.

Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi