Dituduh politikkan agama, Hadi pertahan cara Pas

0
131

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan bahawa perjuangan parti itu adalah berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas.

Jelas beliau, asas agama sudah menjadi pegangan dan perjuangan parti tersebut.

“Adakah kerana perkara ini, maka Pas dituduh memperalatkan agama,” ujar Ahli Parlimen Marang itu dalam satu kenyataan, selepas dituduh mempolitikkan agama oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Khas PKR, semalam, Saifuddin Nasution menyentuh kenyataan Hadi yang menurutnya dibuat secara jelas menentang titah diraja supaya masjid jangan digunakan sebagai pentas politik.

“Memang dalam Islam ada politik, tapi kita dituntut berpolitik secara agama, bukan mempolitikkan agama,” kata Saifuddin.

Mengulas lanjut, Hadi menggesa PKR kembali kepada al-Quran dan mendapatkan petunjuk Allah susulan kenyataan Saifuddin Nasution bahawa ahli parti itu sepatutnya bersikap ‘menyerang’ terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama.

Menurutnya, kenyataan Saifuddin jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf.

Tambahnya lagi, apa yang berlaku ketika ini, negara masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik.

“Malah, raja-raja hanyalah ditugaskan supaya menjaga agama sahaja,” katanya, lapor FMT.

Terdahulu Hadi dilapor menegaskan, bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

Sebaliknya, Hadi berkata adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here