Calon pro-Zahid kuasai pemilihan UMNO

0
139

BARISAN pemimpin yang dilihat sebagai penyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menguasai pemilihan parti itu kali ini.

Daripada jawatan Naib Presiden UMNO, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Pemuda, Wanita dan Puteri, boleh dikatakan hampir keseluruhannya dikuasai mereka yang pro kepada Timbalan Perdana Menteri itu.

Dua daripada tiga jawatan Naib Presiden diisi Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memang merupakan penyokong Ahmad Zahid.

Begitu juga untuk jawatan ahli MKT yang boleh dikatakan hampir semuanya dimenangi calon yang setia terhadap kepimpinannya, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat pukul 10.30 pagi ini.

Hanya beberapa calon yang dilihat tidak sehaluan dengan Zahid berjaya menempatkan diri dalam majlis tersebut, antaranya Md. Alwi Che Ahmad dan Jalaluddin Alias.

Malah ‘panglima perang’ Ahmad Zahid menang dengan jumlah undi yang tinggi, antaranya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi, Razlan Rafii dan Datuk Zahida Zarikh Khan.

Keadaan sama dilihat dalam keputusan pemilihan sayap UMNO yang sudah pun selesai.

Jawatan ketua Pemuda UMNO dan ketua Puteri UMNO dimenangi oleh Muhamad Akmal Saleh serta Nurul Amal Fauzi yang merupakan calon kem Ahmad Zahid.

Di peringkat bahagian pula, perkara ini jelas dilihat di Pasir Salak di mana penyokong Zahid, iaitu Khairul Azwan Harun menang jawatan ketua bahagian dengan menewaskan pencabarnya Faizal Tajuddin.

Faizal merupakan anak kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang memimpin bahagian itu selama 18 tahun.

Begitu juga Rozabil Abd Rahman yang merupakan calon kem presiden dan menang tanpa bertanding di Arau, bahagian yang dipegang Shahidan Kassim selama 30 tahun.

Rozabil merupakan calon yang dipilih kepimpinan UMNO di kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menggantikan Shahidan yang digugurkan, lapor Malaysiakini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here