Gantikan minyak masak dengan ‘minyak tanak’

0
141

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

ISU kekurangan dan kehabisan minyak masak yang pernah berlaku di pasaran negara ini tidak seharusnya berulang sekiranya semua pihak serius mengatasinya.

Kita perhatikan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini isu tersebut seakan tidak pernah terhenti dan sentiasa menyelubungi masayarakat.

Ada ketika, penduduk yang tinggal di beberapa kawasan tertentu seringkali mengeluh apabila berhadapan dengan krisis kekurangan dan kehabisan bekalan minyak masak.

Hal ini menyebabkan terdapat pasaraya atau kedai-kedai tertentu terpaksa menghadkan pembelian barangan keperluan harian tersebut ke atas setiap pengguna.

Apabila ini berlaku, maka berlumba-lumbalah golongan surirumah mencari mana-mana premis yang menjual minyak masak walaupun terpaksa berbaris panjang demi untuk mendapatkan sepeket atau sebotol minyak masak.

Maklum sahaja, memandangkan minyak masak merupakan barangan keperluan harian sangat penting, maka mereka sanggup meredah kemana sahaja asalkan mendapat barangan tersebut.

Ini kerana tanpa minyak masak bermakna dapur kurang berasap.

Untuk menggoreng ikan, menumis lauk sudah tentu perlukan minyak masak.

Nak buat lempeng nyur, jemput-jemput pisang serta goreng keropok juga perlukan minyak masak.

Jadi, kalau bekalan minyak masak sentiasa kontang bagaimana semua masakan itu dapat dihidangkan?

Selain suri rumah, penulis perhatikan terdapat juga golongan bujang turut mengeluh dan ‘membising’ setiap kali minyak masak kehabisan dalam pasaran.

Banyak buah kelapa kering dibiarkan terbiar sehingga bercambah sedangkan harga kelapa sekarang semakin mahal.

Ini menyebabkan penulis sedikit musykil apabila ada orang bujang turut marah apabila berlaku krisis kekurangan bekalan minyak masak sedangkan mereka bukannya rajin sangat memasak.

Malah, apa yang penulis mendapat tahu pada hari-hari biasa pun kebanyakan golongan berkenaan dikatakan suka pelahap mee segera pada waktu tengah hari dan ada pula yang gemar membeli nasi bungkus berulamkan sayur serta sambal belacan dan petai.

Bercakap mengenai minyak masak, penulis teringat ketika zaman kanak-kanak dahulu.

Ketika itu, kebanyakan kaum ibu mencipta minyak masak sendiri melalui isi kelapa yang dinamakan ‘minyak tanak’ atau minyak nyiur.

Sewaktu itu, penulis jarang melihat masyarakat kampung membeli minyak masak di kedai-kedai memandangkan bekalan minyak tanak yang diproses boleh disimpan hingga berbulan lamanya.

Orang dulu-dulu memang kreatif dan rajin pula berusaha melakukan apa sahaja yang difikirkan perlu.

Mereka memproses minyak tanak kerana disekeliling rumah terdapat banyak pohon kelapa dan daripada dibiarkan membazir, lalu terciptalah minyak masak sendiri, iaitu minyak tanak.

Kelapa kering boleh diusahakan menjadi minyak masak

Bagaimanapun, orang sekarang bukan sahaja sudah melupai tentang minyak tanak, tetapi apa yang penulis perhatikan banyak buah kelapa kering dibiarkan terbiar sehingga bercambah sedangkan harga kelapa sekarang semakin mahal.

Kenapa tidak dikutip sahaja kelapa itu dan dijual di pasar?

Bagi penulis, mungkin hal ini sebabkan masyarakat sekarang tidak ramai yang mengetahui tentang minyak tanak serta kegunaannya sehingga buah kelapa dibiarkan bersepah di merata tempat.

Maka itu, penulis ingin cadangkan kepada kaum ibu terutama bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap supaya kutiplah buah-buah kelapa yang bertaburan itu dan jadikanlah ia sebagai minyak tanak.

Kalau setiap orang bertindak seperti itu, penulis percaya masalah kekurangan minyak masak sama ada dalam bentuk botol ataupun peket tidak akan berlaku.

Jadikanlah kegigihan serta kreativiti orang dulu-dulu sebagai panduan paling berharga disamping kita turut berpeluang membantu ekonomi keluarga dalam menghadapi zaman yang semakin mencabar ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here