Penipuan dalam talian: Guru dakwa rugi lebih RM120,000

0
162

SEORANG guru mendakwa kerugian lebih RM120,000 selepas diperdayakan dalam urusan membeli seunit sistem membayar automatik rangkaian tol atau SmartTAG yang dijual pada harga RM80 menerusi media sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa yang berusia 54 tahun mendakwa kejadian bermula selepas dia menekan pautan yang diberikan suspek untuk membuat pembayaran.

“Mangsa mendakwa telah memasukkan maklumat perbankannya ke pautan itu namun pembayaran tidak berjaya menyebabkan dia kembali mengisi pautan diberikan dengan maklumat perbankan sebuah bank lain miliknya.

“Mangsa mendakwa tetap tidak dapat menyelesaikan urusan pembayaran menyebabkan dia menyemak akaun banknya dan mendapati terdapat 16 transaksi pengeluaran dilakukan tanpa pengetahuannya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata mangsa membuat laporan Selasa lepas (14 Mac) di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat turun aplikasi atau mengikut pautan yang tidak sah atau mencurigakan serta membuat semakan di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here