DKKP wajar disalur terus kepada kerajaan negeri, bukan melalui JPP

0
169

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

KERAJAAN Pusat diminta agar menyalurkan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) membabitkan royalti petroleum secara terus kepada kerajaan Terengganu sepertimana tahun lalu.

Justeru, pelbagai pihak termasuk rakyat Terengganu berharap Kerajaan Pusat tidak mengulangi cara lama iaitu pembayaran dibuat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dengan menamakannya sebagai ‘wang ehsan’.

Ia penting untuk membolehkan pentadbiran Kerajaan Negeri dapat mengurus serta melaksanakan perancangan pembangunan secara lebih berkesan termasuk melibatkan hal-hal kepentingan rakyat.

Maka itu, penulis dan rakyat Terengganu turut mengharapkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengamalkan sikap terbuka berhubung perkara ini.

Apa yang penting ialah tidak terlalu ‘berpolitik’ di samping mengelakkan soal remeh temeh sehingga ia boleh menjejaskan kepentingan rakyat.

Pada masa sama, PM juga diharap sypaya tidak hanya bercakap ‘manis dibibir’ ketika berjanji termasuk beberapa perkara penting ketika pertemuannya dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Ibu negara, Selasa lalu.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar dikatakan ada memberi jaminan bahawa Terengganu dijangka menerima DKKP daripada Kerajaan Pusat, pada hujung bulan ini.

Bagaimanapun, ketika bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam, Samsuri mengatakan beliau tidak tahu jumlah sebenar yang bakal diterima Kerajaan Terengganu nanti.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua kiri) beramah mesra bersama ADUN Barisan Nasional (BN) selepas Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Sebaliknya, beliau menjangkakan jumlahnya agak banyak juga berbanding tahun lalu.

Jangkaan itu berdasarkan kedudukan harga minyak dunia yang agak tinggi pada tahun lalu.

Dalam pertemuan itu juga turut dibincangkan beberapa perkara penting termasuk projek pembangunan dan kewangan kerajaan negeri ini di mana ia berlangsung dengan penuh keterbukaan di mana beberapa keputusan penting juga akan dilaksanakan PM.

Persoalannya, apakah Kerajaan Terengganu bakal menerima bantuan DKKP ini secara terus?

Ini kerana, Anwar sebelum ini pernah mengatakan bahawa bantuan peruntukan untuk Terengganu akan disalurkan terus kepada rakyat menerusi JPP.

Banyak pihak berpendapat, tindakan itu seolah-olah jenama ‘wang ehsan’ bakal kembali semula ke negeri ini, sekaligus mengulangi peristiwa ketika Pas memerintah Terengganu pada tahun 1999 lalu.

Malah sewaktu mengumumkan bantuan segera peruntukan banjir RM50 juta pada akhir tahun lalu, ia juga disalurkan menerusi JPP, bukannya secara terus kepada kerajaan negeri.

Ekoran itu, Samsuri sebelum ini pernah menyifatkan ia sebagai keputusan tidak wajar kerana bantuan berkenaan sepatutnya diberikan terus kepada Kerajaan Negeri untuk diuruskan bersama agensi Kerajaan Persekutuan bagi melicinkan proses bantuan.

Selain itu, ia juga boleh mewujudkan keharmonian sekali gus mampu mengelakkan berlaku kelemahan termasuk pertindihan kerana amalan kebiasaannya, diuruskan kerajaan negeri.

Maka itu, apa yang diharapkan ialah selesaikanlah isu pembayaran DKKP ini dengan kaedah terbaik demi kepentingan semua pihak, khususnya rakyat jelata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here