Wee Ka Siong gesa Deepak buat laporan polis untuk bersihkan nama

0
193

AHLI Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong mempertahankan dakwaan bahawa beliau menerima panggilan berbaur ugutan pada 13 Mac lalu berhubung isu bekalan telur import.

“Saya memiliki rekod berhubung panggilan berdurasi tujuh minit untuk diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan,” tegasnya yang juga Presiden MCA.

Sehubungan itu, Ka Siong menggesa ahli perniagaan Deepak Jaikishan yang menafikan membuat panggilan sedemikian sekiranya merasakan ada pihak tidak bertanggungjawab telah menyamar dan menggunakan namanya.

“Hanya melalui laporan polis, Deepak boleh membersihkan namanya, sekali gus membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti individu yang membuat panggilan berkenaan, ” katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, jika Deepak merasakan ada orang yang menyamar beliau atas nama Deepak membuat panggilan kepada kepadanya pada 13 Mac 2023 pukul 9.51 pagi, Ka Siong menyeru agar ahli perniagaan itu membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

“Saya bersedia bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan mendedahkan segala bukti yang ada, biarlah PDRM menyiasat perkara ini termasuk mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta syarikat telco (telekomunikasi) untuk mencari identiti Deepak dengan nombor telefon bimbit 019-9999 989,” jelas Ka Siong lagi.

Ka Siong turut mendedahkan, beliau sebetulnya menerima dua panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Deepak.

“Pada pukul 9.51 pagi saya terima panggilan selama 33 saat sebelum terputus, kemudian disusuli pada pukul 9.52 pagi dengan perbualan selama tujuh minit.

“Saya ada lakukan screen shot (tangkap layar) telefon bimbit saya dengan sela masa panggilan berjalan, dua panggilan saya terima,” ujar beliau.

Semalam, di Dewan Rakyat, Ka Siong, mendakwa menerima ugutan berhubung kenyataannya membabitkan isu bekalan telur import.

Beliau memberitahu, menerima panggilan pada pukul 9.51 pagi Selasa, daripada individu memperkenalkan diri sebagai ‘Deepak’ dan mewakili syarikat J&E Advance Tech.

Katanya, lelaki itu turut mendakwa sudah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

Deepak dalam reaksi balasnya menafikan mengeluarkan ugutan terhadap Ka Siong, berhubung isu bekalan telur import.

Kepada portal BH Online, Deepak memaklumkan tidak pernah berhubung dengan bekas Menteri Pengangkutan itu berkait apa-apa perkara pun.

“Saya tidak pernah ‘hubungi’ dia, nombor telefon dia (Ka Siong) pun saya tiada.

“Macam mana pula ada berhubung dengan dia, ini tidak benar,” kata Deepak seperti dilaporkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here