Pecah kuasa PM, kata kumpulan sivil

0
201

PERTUBUHAN masyarakat sivil mencadangkan kuasa Perdana menteri dipecahkan atas alasan jawatan itu mempunyai ‘kuasa terlalu mutlak’.

Dalam laporan 100 hari kerajaan perpaduan berkuasa, pertubuhan itu berkata, kuasa berpusat dalam cabang eksekutif kerajaan terlalu besar, terutama melibatkan
Perdana Menteri.

Sebaliknya jelas pertubuhan berkenaan, kuasa itu perlu diturunkan antara negeri dan pihak kuasa tempatan.

“Kuasa Perdana Menteri juga perlu diturunkan kepada Sabah dan Sarawak, khususnya perkara berkaitan rangka kerja pendidikan dan dana,” kata laporan itu.

Kumpulan itu berkata, dasar dibahaskan di Parlimen sepatutnya bersandarkan kepada data demi memastikan perbahasan dibuat sewajarnya apabila menggubal atau menolak dasar.

Mereka juga menggesa kerajaan menetapkan kalendar sidang Parlimen minimum 135 hari, bermula awal tahun, sambil menyatakan kerajaan terdahulu hanya bersidang selama 89 hari sahaja.

“Malaysia memerlukan Parlimen yang aktif dan bugar untuk berfungsi dengan baik,” katanya.

Berhubung undang-undang dan dasar, kumpulan itu berharap beberapa undang-undang didakwa menekan boleh dimansuhkan seperti Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah, dan Akta Pencegahan Keganasan.

“Undang-undang ini terkenal untuk disalah guna pada masa lalu, selain berpotensi kekal disalahguna,” kata laporan itu lagi.

Mengenai pembiayaan politik, ia berkata penggubalan undang-undang mengenai sumbangan politik akan membantu mengawal selia cara parti dan ahli politik menerima serta menggunakan wang, dengan menjadikannya bertanggungjawab untuk mendedahkan sumber dana dan jumlah yang diterima.

“Undang-undang sangat perlu demi kebertanggungjawaban parti politik dan ahli politik, memastikan ketelusan pengurusan dana, dan mengekang penyalahgunaan, rasuah, penipuan atau salah guna kuasa melibatkannya,” katanya, lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here