Kamal Adli stabil, ingatkan orang ramai jaga keselamatan

0
211

PELAKON popular, Kamal Adli, hari ini tampil mengeluarkan kenyataan pertama selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan pada kepala selepas diserang di Singapura, Ahad lalu.

Menerusi akaun Instagramnya, Kamal memaklumkan keadaannya semakin stabil namun masih memerlukan ubat untuk melawan rasa sakit serta memulihkan kecederaannya.

Dia dalam pada itu mengingatkan orang ramai agar menjaga keselamatan sepanjang masa.

“Salam, Alhamdulilah, amin Kamal semakin stabil tapi masih under medication untuk tahan sakit dan nanah dan lebam lebam di badan dan dijaga isteri saya.

“Terima kasih atas doa kalian terutama artis artis di booth dan juga orang orang Malaysia, Singapura yang tolong Kamal.

“Cuma Kamal harap semua orang tolong jaga keselamatan kerana kita tak tahu siapa suka atau benci kita,” jelasnya.

Dalam entri terbaharu itu, Kamal turut meminta orang ramai mendoakan isterinya Uqasha Senrose yang masih trauma akan kejadian itu.

“Doakan untuk isteri saya yang masih trauma pasal isu ini, saya sayang isteri saya, yang ketuk saya sorang je bukan satu Singapura, jangan gaduh-gaduh,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kamal, 36, mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala sehingga terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di republik itu selepas diserang seorang lelaki ketika menghadiri acara Hari Raya Mega Sale 2023 di Singapura, Ahad lalu.

Dalam perkembangan sama, lelaki yang menyerang Kamal dituduh di mahkamah republik itu hari ini.

Suspek berusia 33 tahun itu dituduh kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.

Mahkamah menetapkan lelaki itu direman dua minggu bagi menjalani ujian psikiatri.

“Tertuduh akan direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu bagi menjalani penilaian psikiatri,” kata Hakim Daerah Terence Tay yang bersetuju dengan permohonan pendakwa raya menahan tertuduh bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.

Tay berkata bahawa sebutan semula kes itu akan dibuat pada 28 Mac lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here