Zahid sahkan Asyraf Wajdi dilantik Pengerusi Mara yang baharu

0
170

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Bandar Penawar di Kota Tinggi, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajun Desa dan Wilayah berkata, beliau sendiri sudah menyerahkan watikah pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang dilaksanakan di pejabat kementerian berkenaan, kelmarin.

“(Asyraf Wajdi) Telah dilantik, bukan desas-desus lagi. Beliau telah dilantik dan saya telah serah watikahkannya pada hari Jumaat yang lalu.

“Sebab itu bukan berita politik, maka ia adalah sahih,” katanya ringkas, lapor Sinar Harian.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) serta Pengurus Besar Kejora, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.

Ahmad Zahid mengulas berkenaan foto beliau sedang menyampaikan surat pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang tular di Twitter.

Ciapan dimuat naik seorang pengguna Twitter pada Sabtu mengundang reaksi tidak senang rakyat yang mempertikaikan pelantikan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.

Jawatan Pengerusi Mara sebelum ini disandang Datuk Azizah Mohd Dun.

Semalam, Asyraf Wajdi dilihat memuat naik resume beliau dalam Facebook miliknya dan memaklumkan beliau kini sedang mencari kerja.

Sebelum ini, beliau menarik perhatian apabila tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti pada kali ini.

Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan tidak akan ada lantikan politik lagi dibawah pentadbirannya bagi jawatan agensi berkaitan kerajaan (GLC) yang menjadi budaya kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, kerajaan campuran baru-baru ini meneruskan juga beberapa lantikan daripada kalangan politik bagi memegang jawatan dalam agensi kerajaan, berbeza semasa janji kempen dalam pilihan raya lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here