PAT Bersatu 2022: Muhyiddin umum tidak letak jawatan Presiden

0
210

TAN Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk tidak meletak jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaras dengan kehendak Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022.

Beliau juga terharu dengan sokongan diterima dan berjanji untuk terus memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam, saya telah menawarkan untuk meletak jawatan sebagai Presiden Bersatu. Ini adalah disebabkan kedudukan saya pada masa ini yang sedang berhadapan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah.

“Sebagai mendukung prinsip dan motto perjuangan parti kita, iaitu Bersatu Bermaruah dan Beramanah, saya mengambil (tanggungjawab) sepenuhnya atas pertuduhan terhadap diri saya. Walau bagaimanapun MPT Bersatu menolak tawaran saya untuk meletak jawatan.

“Pagi ini, perwakilan juga meluluskan usul menolak peletakan jawatan Presiden dan atas kehendak Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, saya meneruskan tugas saya sebagai Presiden parti.

“Saya amat terharu dengan sokongan yang luar biasa. Saya terharu dan bangga di atas sikap setiakawan saudara semua. Terima kasih dan saya akan teruskan untuk memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional,” katanya, hari ini, lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 di Menara PGRM, Cheras.

Sebelum itu, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 sebulat suara meluluskan Usul Penolakan Perletakan Jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.

Usul dibentangkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, perwakilan Bersatu menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin, sekali gus menyokong penuh agar beliau kekal memimpin sebagai Bersatu.

“Kita sedar, tanpa susuk tubuh Muhyiddin, parti ini tidak akan wujud. Parti ini lahir di teratak beliau. Asas perjuangannya adalah idealisme perjuangan beliau. Kelangsungannya kerana komitmen Tan Sri Presiden dan kejayaannya, kerana keyakinan rakyat kepada beliau yang dikasihi rakyat dan digelar sebagai ‘Abah’.

“Pengorbanan yang dilakukan oleh Abah kita tidak boleh dipertikaikan lagi. Pelbagai jenis cabaran dan dugaan, naik dan turun telah dilalui olehnya. Beliau pernah dipecat, beliau pernah didesak melepaskan jawatan dan hari ini pula beliau dituduh dengan penuh kezaliman,” ujarnya.

Justeru, katanya Bersatu melihat sekarang adalah masa untuk ahli parti bersolidariti menentang kezaliman, dan tiada keperluan untuk Presiden meletakkan Jawatan.

Muhyiddin kelmaein memaklumkan kedudukan beliau sama ada kekal atau tidak sebagai Presiden Bersatu akan ditentukan oleh MPT.

Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here