Bersedia… nafiri PRN sudah dibunyikan – Hamzah

0
195

SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung dalam masa terdekat akan menjadi penentu kepada survival dan hala tuju parti berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) sehubungan itu meminta agar semua jentera Bersatu di peringkat akar umbi untuk tidak lalai dan berada dalam ‘silent mood’.

“Nafiri perang Pilihan Raya Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sudah dibunyikan. Pilihan raya bukanlah satu pertarungan yang enteng.

“Mereka akan melakukan apa sahaja demi untuk mengalahkan kita. Pilihan raya bukan sekadar penentu kepada survival dan hala tuju parti kita, malah ia akan menentukan berapa lama hayat kerajaan campuran ini mampu untuk bertahan.

“Bangunlah wahai pejuang dan penyokong parti, bangunlah. Wajib kita bersedia untuk berperang demi mempertahankan kebenaran. Bangunlah demi untuk menjaga parti keramat yang kita cintai ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-5 Tahun 2022 Bersatu di Menara PGRM, Cheras, hari ini.

Mengulas lanjut Hamzah turut mengingatkan bahawa sekarang bukanlah masa untuk anggota Bersatu bersengketa dan bermasam muka sesama sendiri sebaliknya bersatu sebagai satu kumpulan yang padu dan kukuh demi masa depan perjuangan parti.

“Kita buktikan solidariti kita bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu). Marilah kita bersama-sama gerakkan jentera di seluruh negara dan tunjukkan solidariti serta kekuatan kita, ibarat lima jari yang digenggam menjadi tumbukan maut.

“Cubit paha kanan, paha kiri juga terasa dan biarlah ringan sama dijunjung, berat sama dipikul. ‘Sir, we all stand together with you’,” ujar beliau.

Hamzah berkata, semangat yang tengah membara ketika ini seiring sejalan kerana PRN akan berlangsung dalam masa terdekat.

Katanya, ia peluang terbaik untuk Bersatu dan PN membuktikan kepada semua bahawa rakyat menolak kerajaan yang ada pada hari ini.

“Kita akan jadikan PRN ini sebagai referandum keyakinan rakyat kepada Perikatan Nasional untuk memimpin negara. Insya-ALLAH, jika semangat inilah yang digalas bersama, kejayaan akan menjadi milik kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here