Bersatu galas tugas perjuang hak Melayu selepas UMNO hanya jadi alat kelangsungan kuasa PH – Muhyiddin

TAN SRI Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan ahli-ahli Bersatu tidak membiarkan parti itu dihancurkan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan kerana Bersatu menggalas amanah perjuangan yang mulia dan besar.

Presiden Bersatu itu berkata, sebagai sebuah parti pribumi, Bersatu memikul amanah memperjuangkan hak dan kebajikan orang Melayu dan Bumiputera, kepentingan umat Islam serta hak-hak yang sah untuk semua kaum dan penganut agama.

‘’UMNO tidak lagi menjadi parti yang boleh diharapkan untuk menggalas amanah ini. UMNO kini menjadi parti minoriti dalam gabungan politik yang didominasi oleh Pakatan Harapan. Apa lagi yang boleh diharapkan daripada UMNO?

“Demokrasi juga telah mati dalam parti UMNO. Perlembagaan parti dilanggar sebegitu rupa semata-mata untuk menjaga kepentingan seorang individu. Tujuan parti itu juga telah berubah daripada menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, kepada menjaga kepentingan individu,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Tahunan Bersatu di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin berkata, individu berkenaan dilindungi oleh pucuk pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan.

Kata beliau, demi kepentingan untuk mempertahankan kuasa Pakatan Harapan, individu itu mesti dipastikan terus menguasai UMNO dan melalui  penguasaan itu ke atas UMNO, maka Pakatan Harapan akan terus berkuasa.

‘’UMNO di bawah individu ini bukan lagi mementingkan kuasa politik Melayu, tetapi menjadi alat untuk meneruskan kelangsungan kuasa Pakatan Harapan. Bagi kita dan sebahagian besar orang Melayu, inilah pengakhiran hayat UMNO. It is the final nail in UMNO’s coffin.

‘’Tetapi jatuh bangun UMNO itu bukan masalah kita. Yang kita bimbang ialah masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Semakin lama mereka dibiarkan berkuasa, semakin banyak kerosakan yang akan dibuat yang mungkin sukar untuk diperbaiki lagi,’’ katanya.

Beliau berkata, dengan kuasa yang ada, mereka mungkin akan mengubah persempadanan kawasan pilihan raya untuk mengekalkan kuasa politik selama-lamanya.

‘’UMNO pula akan mengikut sahaja kehendak penguasa politik mereka di dalam Pakatan Harapan demi survival kelompok kecil mereka.  Itulah sebabnya Bersatu memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan. Itulah juga sebabnya PAS membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

‘’Perjuangan mereka berbeza dengan perjuangan kita. Tetapi malangnya UMNO, hanya kerana kepentingan seorang individu, rela menggadai perjuangan partinya sendiri untuk orang Melayu,’’ katanya.

Namun kata Muhyiddin, beliau percaya orang Melayu sedar tentang percaturan politik kotor yang sedang berlaku.

‘’Orang Melayu semakin celik politik. Mereka tidak boleh dipermainkan. Mereka tahu Sang Penguasa di Putrajaya hanya berminat untuk bergayut di talian hayat kuasa, tanpa ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk membela nasib rakyat.

‘’Masakan tidak. Ketika harga ayam mahal, mereka dengan senang berkata, jangan makan ayam. Ketika harga telur mahal, mereka kata jangan makan telur. Ketika rakyat tiada wang untuk membiayai perbelanjaan harian dan membayar hutang, mereka kata pinjamlah dengan bank. Inikah kerajaan yang dimahukan oleh rakyat? Inikah jenis pemimpin yang membela nasib rakyat? Jauh panggang dari api!,’’ tegasnya.

Kata Muhyiddin, PH-BN melakukan pemangsaan politik ke atas beliau untuk membunuh BERSATU, tetapi sebenarnya merekalah yang akan terbunuh.

”Pilihan raya di enam negeri nanti akan menjadi medan yang menyaksikan penolakan besar-besaran orang Melayu terhadap Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Mereka telah mensia-siakan mandat rakyat. Mereka telah gagal membela nasib rakyat. Kerana itu, ahli-ahli BERSATU tidak boleh lemah semangat. Kita sedang menuju ke medan perang di mana kemenangan sedang menanti kita. Kita mungkin terpaksa bergolok bergadai untuk menghadapi pilihan raya. Mereka pula pastinya akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk menindas kita dengan rakus.