TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata setiap ahli perlu belajar mengenai kesilapan yang terjadi dalam pilihan raya yang lalu.
Katanya, kesilapan serupa tidak seharusnya diulangi dalam pilihan raya enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Kita perlu belajar apa yang sudah terjadi pada tempoh lalu agar ia tidak diulangi dalam pilihan raya di enam negeri. Jika ada bendera, janganlah tidak dinaikkan atau jika mahu mencari pengundi, janganlah ditangguh-tangguh sehingga ke hari esok,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pergulungan di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali kelima Bersatu di Menara PGRM di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun Bersatu kini tidak mempunyai dana namun ia tidak akan mematahkan semangat ahli parti yang sebelum ini menubuhkan parti itu dengan hati yang ikhlas.
“Akaun Bersatu telah dibekukan. Kita sudah tiada apa lagi. Tapi kita kena ingat dahulu ketika kita mahu kumpulkan ahli, kita tiada apa tetapi kita lakukan jualan amal atau melelong barangan.
“Kita masih boleh berusaha sekiranya kita ikhlas. Ini juga adalah ingatan daripada Allah dan tidak mustahil kita akan Kembali jadi kerajaan,” katanya.