Perjelas punca pengecualian cukai Yayasan Albukhary ditarik, Muhyiddin cabar Guan Eng

0
266

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan membuat permohonan maaf terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang dikaitkan dengan isu cukai Yayasan Albukhary ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.

Sebaliknya, Presiden Bersatu itu mencabar Guan Eng untuk menjelaskan perkara berhubung cukai berkenaan kerana maklumat yang diperoleh beliau adalah sahih.

“Apa yang beliau boleh buat daripada mencabar saya adalah jelaskan perkara itu. Sebab apa yang saya dapat ketika permohonan itu dibuat (pengecualian cukai) kepada saya melalui Kementerian Kewangan adalah ia diluluskan (kepada Yayasan Albukhary) ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Razak.

“Kemudian ketika Pakatan Harapan (PH), Guan Eng menjadi Menteri Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah di bawah kementerian itu. Guan Eng perlu jelaskan (mengapa pengecualian cukai ditarik). Saya cabar beliau untuk menjelaskan apa sebenarnya.

“Sebab itu mereka datang mohon pada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk minta supaya pengecualian itu diberikan semula,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, di Cheras, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng menafikan mengeluarkan sebarang arahan spesifik untuk membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kerajaan BN kepada Yayasan Albukhary dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Dalam satu kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Muhyiddin mendakwa, kerajaan PH membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Muhyiddin berkata, beliau tahu punca Guan Eng membatalkan pengecualian cukai yang diperoleh Yayasan Albukhary sebelum itu.

“Yayasan Albukhary adalah yayasan terbesar yang diterajui Melayu dan banyak menyumbang kepada orang ramai dan mereka mendapat manfaat daripada yayasan itu.

“Tiba-tiba ia dihentikan (pengecualian cukai), seolah-olah tidak mengiktiraf apa yang sudah dilakukan oleh Yayasan Albukhary kepada masyarakat. Oleh itu kenapa saya perlu tarik balik (kenyataan dikeluarkan), itu adalah fakta dan benar,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, ketika menerajui pentadbiran negara, beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara itu, sebaliknya keputusan untuk menimbangkan rayuan yang dibuat Syed Mokhtar itu diputuskan Kementerian Kewangan dan LHDN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here