Baju ‘PN Best’ dengan gambar Muhyiddin mula diedar kepada penyokong

0
206

KUMPULAN penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin mula mengedarkan baju tertera perkataan ‘PN Best’ dan gambar bekas perdana menteri itu, yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Baju berwarna putih itu diedarkan kepada mereka yang berkumpul di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dan dipakai sebagai tanda solidariti kepada Ahli Parlimen Pagoh.

Beberapa penyokong turut melaungkan “Hidup Tan Sri” ketika berhimpun.

Setakat jam 10 pagi, kumpulan penyokong dilihat semakin ramai, dengan turut dihadiri Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Difahamkan, Ahli Parlimen dari PN juga akan hadir ke SPRM pagi ini bagi memberikan sokongan.

Muhyiddin dijadual tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 10.30 pagi nanti.

Astro AWANI pada Rabu melaporkan SPRM akan memanggil Muhyiddin selaku Presiden Bersatu pada Khamis.

Sumber SPRM mengesahkan kepada Astro AWANI berhubung berita tentang Muhyiddin dipanggil ke ibu pejabat agensi tersebut.

Sumber itu juga menafikan dakwaan bahawa Muhyiddin telah ditahan ketika bermain golf di sebuah padang di Selangor pada Rabu.

Pada 17 Januari lalu, SPRM memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan berhubung siasatan wang RM300 juta disyaki diterima parti itu daripada dana di bawah pakej rangsangan ekonomi COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here