SPRM tahan tiga individu termasuk Pengurus Pusat Giat Mara terbabit kes rasuah, salah guna jawatan

0
266

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna jawatan dan menerima rasuah.

Tangkapan dilakukan secara berasingan di pejabat SPRM Pahang dan Raub semalam.

Sinar Harian melaporkan, seorang daripada yang ditahan merupakan pengurus sebuah Pusat Giat Mara di negeri berkenaan.

Lelaki berusia 39 tahun itu disyaki menyalahgunakan jawatannya dengan mencadangkan syarikat milik adik-beradik isterinya dilantik untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih dan bina baharu Program Perumahan Termiskin (PPRT) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 2021 hingga tahun lalu.

Nilai keseluruhan bagi kerja-kerja tersebut berjumlah RM38,521.

Suspek ditahan pada pukul 8.15 malam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang di Kuantan.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini untuk perintah reman.

Majistret Fatinah Abu Bakar membenarkan perintah reman ke atas suspek selama tujuh hari sehingga 14 Mac ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 ASPRM 2009.

Sementara itu, SPRM turut menahan dua kakitangan di pejabat tanah daerah Raub dan Lipis untuk siasatan kerana disyaki menerima rasuah RM4,000 bagi membantu mempercepatkan proses permohonan permit sebuah syarikat untuk aktiviti pengeluaran pasir Sungai Semantan dan Sungai Jelai.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 sebelum dilepaskan dengan bon jaminan SPRM.

Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan semua tangkapan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here