Wanita cedera ‘diserang’ isteri ketiga suami

SEORANG wanita cedera pada jari tangan selepas dipercayai terlibat dalam pertengkaran dan pergelutan dengan madunya yang tiba-tiba menceroboh masuk ke dalam kawasan rumahnya dalam kejadian di Chukai, Kemaman, pukul 2.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, insiden berkenaan berlaku ketika mangsa yang berusia 34 tahun itu berada di rumah bersama seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

“Berdasarkan aduan, wanita tersebut yang merupakan seorang peniaga mendakwa madunya berusia 28 tahun itu turut merosakkan sebuah motosikal dan sebuah kereta milik suaminya.

“Suspek didakwa telah menerpa masuk ke dalam kawasan pagar rumah dan terus bertindak memecahkan cermin hadapan dan belakang sebuah kereta milik suami pengadu dengan menggunakan bakul mengisi buah sebelum berlaku pertengkaran mulut dan pergelutan antara mereka.

“Ketika kejadian, suspek juga didakwa bertindak mencalarkan sarung belakang sebuah motosikal,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek datang ke rumah pengadu untuk mencari suaminya yang didakwa tidak pulang ke rumah selama dua hari.

Suspek juga ujar Hanyan, ada bertanyakan kepada mangsa sama ada mengetahui bahawa suaminya itu telah berkahwin dengan adiknya sendiri iaitu adik suspek.

Difahamkan, suspek masih belum disahkan bercerai dengan suaminya melalui Mahkamah Syariah.

Hanyan berkata, suspek yang juga seorang peniaga turut membuat laporan polis mendakwa pengadu merosakkan kereta jenis BMW miliknya ketika kejadian.

“Suspek telah ditahan dan kes itu disiasat dibawah Seksyen 447/427 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.