Usul lulus ‘top 2’ tak dipertanding, ahli UMNO pertimbang semakan kehakiman

0
349

DUA ahli UMNO mempertimbangkan untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) yang memutuskan UMNO tidak melakukan sebarang kesalahan meluluskan usul tambahan pada Perhimpunan Agung 2022 supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan sepertimana didedahkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli UMNO Kuala Nerus Aizat Fikri Nasir berkata, pihaknya akan berbincang dengan peguam untuk memulakan proses semakan tersebut.

“Saya akan berbincang dengan rakan saya Fiqri Firdaus dan juga peguam kami bagi mempertimbangkan semakan kehakiman terhadap keputusan JPPM tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Aizat bagaimanapun percaya JPPM telah menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh berkenaan isu dibawa beliau sebelum ini.

Namun katanya, dia meragui pengecualian melalui Seksyen 70 diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN), boleh disalahguna pihak tertentu dalam membetulkan segala ketidakaturan dilakukan mana-mana pertubuhan dalam meluluskan usul.

“Pengecualian tersebut (Seksyen 70) boleh disalahgunakan untuk membetulkan segala ketidakaturan (irregularities) yang telah dilakukan oleh mana-mana pertubuhan di bawah akta tersebut.

“Secara tidak langsung, pengecualian ini telah mengesahkan ketidakaturan sememangnya wujud dalam proses mengangkat usul tambahan tersebut,” katanya lapor FMT.

“Secara logiknya jika tiada pelanggaran di bawah Seksyen 13(1)(c)(4), makanya Seksyen 70 tidak perlu digunapakai oleh KDN. Pihak JPPM boleh menghantar surat memaklumkan tiada pelanggaran telah berlaku.”

Pada masa sama, beliau mengakui kecewa sekiranya seksyen itu digunakan secara tidak betul memandangkan kerajaan dan kepimpinan hari ini dikatakan sangat mengangkat kedaulatan undang-undang atau ‘Rule of Law’.

“Saya minta perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengambil serius tentang isu ini kerana ianya boleh mencalarkan kredibiliti kepimpinan kerajaan diterajui beliau, dan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem dan agensi penguatkuasa kerajaan,” katanya.

Zahid sebelum ini mendedahkan JPPM memutuskan UMNO tidak melakukan sebarang kesalahan dengan meluluskan usul tambahan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

“Setiausaha Agung UMNO Datuk Ahmad Maslan menerima surat bertarikh 3 Mac yang memaklumkan keputusan menteri dalam negeri berhubung usul itu,” katanya dalam satu sidang media.

Menurut surat dibaca Zahid itu, Kementerian Dalam Negeri memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13 (1)(c) (14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

JPPM berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO Jan lalu, parti itu meluluskan usul tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Bagaimanapun, JPPM bulan lalu, dilaporkan menyiasat kemungkinan berlakunya pelanggaran perlembagaan parti selepas usul itu diluluskan.

Siasatan itu dibuat selepas dua ahli UMNO memfailkan aduan kepada JPPM mendakwa tindakan membentangkan usul itu di perhimpunan agung melanggar Artikel 10 perlembagaan parti itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here