Kelantan gesa Kerajaan tunaikan janji 2018 untuk bayar royalti minyak

0
274

KERAJAAN Kelantan melahirkan rasa kesal dengan keengganan kerajaan menyalurkan royalti minyak kepada negeri itu, dengan berkata ia bertentangan dengan keputusan Putrajaya di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat pembayaran sedemikian kepada semua negeri termasuk di bawah pemerintahan pembangkang. 

Ini susulan kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima bayaran daripada Petronas kerana minyak yang dikeluarkan berada di luar lingkungan tiga batu nautika milik negeri itu di bawah Akta Laut Wilayah 2012. 

Namun Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata DUN sudah menolak akta itu pada 2015, kerana merasakan kerajaan pusat cuba menghalang kerajaan negeri daripada memperoleh royalti minyak dengan mengehadkan wilayah mereka.

“Perjanjian kerajaan Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975 dalam fasal 1(1) jelas menyatakan Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah 5% daripada nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan.

Beliau juga menyebut minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 menyatakan bahawa: “Memansuhkan program wang ihsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan secara terus kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri tersebut yang dikuasai oleh pembangkang”.

Ahmad berkata kerajaan negeri selama ini sudah mengambil pelbagai langkah dan usaha dalam menuntut bayaran tunai petroleum bermula 2013 hingga 2021, sambil menambah bahawa perbincangan itu turut disertai oleh pengerusi dan pegawai kanan Petronas.

“Oleh itu, kerajaan negeri dengan ini menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menjelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum secara terus kepada Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat,” tambahnya, lapor MalaysiaNow.

Minggu lalu, ahli Parlimen PAS menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menjunjung titah Sultan Muhammad yang mahu tuntutan bayaran petroleum kepada negeri Kelantan dapat ditunaikan mengikut perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.

“Kawasan joint-development area, sebuah kawasan perlombongan petroleum di kawasan bertindih dengan Thailand jaraknya dengan pantai Bachok hanya 145 kilometer.

“Tetapi keputusan kerajaan pada 1996 yang mana Tambun (Anwar Ibrahim) sebagai menteri kewangan ketika itu telah melarikan pendaratan ke Songkhla, jaraknya 230 kilometer.

“Kalau hendak mengangkat martabat Melayu, Melayu ada mana di Songkhla? Kalau hendak menoktahkan miskin tegar, sepatutnya ia didaratkan di Bachok,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here