SPRM serbu bank, pengurup wang bersekongkol sindiket penipuan

0
210

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa premis bank, pengurup wang dan pendaftar syarikat di sekitar ibu kota disyaki bersekongkol dan menjadi orang tengah kepada sindiket penipuan.

Serbuan pasukan khas Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (SPRM) yang dilakukan hari ini adalah susulan daripada Op Tropicana yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Sumber berkata, serbuan itu melibatkan beberapa buah institusi kewangan, pengurup dan pendaftar syarikat di sekitar ibu kota.

“Mereka disyaki memberi kemudahan kepada sindiket penipuan antarabangsa dalam pembukaan syarikat dan akaun-akaun bank di Malaysia.

“Kemudahan yang diberikan itu menyebabkan sindiket tersebut memilih Malaysia sebagai salah satu negara bagi aktiviti penipuan,” katanya.

Sumber juga memaklumkan, SPRM telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 41 tahun yang merupakan seorang ahli sindiket yang dikehendaki berhubung kes penipuan pelaburan.

“Individu berkenaan telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 oleh pasukan khas pada Selasa lalu ketika dia tiba dari Kemboja untuk pergi ke United Kingdom (UK).

“Individu tersebut disyaki mencipta laman web palsu untuk diberikan kepada mangsa penipuan bagi menyakinkan mangsa untuk melabur di pelaburan yang tidak wujud,” katanya, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Mohamad Zamri ketika dihubungi hari ini mengesahkan serbuan berkenaan, namun tidak mengulas lanjut.

Terdahulu, SPRM menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga United Kingdom (UK) dalam serbuan di 24 premis berasingan menerusi Op Tropicana yang dilaksana bermula 21 Februari lalu.

Operasi dijalankan serentak termasuk di tiga pusat panggilan, syarikat dan kediaman ahli sindiket di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang tanpa kehadiran pihak polis.

Difahamkan, sindiket dipercayai beroperasi sejak 2019 dan mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan dalam media sosial dan ahli sindiket terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina.

Katanya, sindiket ini sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia sehingga RM1 bilion.

Seramai 11 suspek disyaki terbabit dalam kegiatan itu ditahan, manakala 70 individu lagi ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi itu.

Sebanyak 74 akaun milik individu dan syarikat dibekukan, dianggarkan berjumlah RM11 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here