PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) percaya musuh politiknya tidak akan berhenti menggunakan apa juga kaedah untuk menjatuhkan semua barisan pimpinan tertinggi parti.
Ia susulan tangkapan dan pendakwaan ke atas beberapa pemimpin BERSATU yang dikaitkan dengan rasuah kes Jana Wibawa.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata BERSATU mahu melihat sejauh mana keadilan dalam siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes membabitkan parti politik.
“Saya percaya mana-mana parti politik termasuk BERSATU terbuka menerima sumbangan, namun adakah SPRM dapat membuktikan ada permintaan rasuah daripada pemimpin parti kepada mereka yang memberi sumbangan ini.
“Jika parti politik tidak dibenarkan menerima sumbangan dan ia dilihat sebagai satu kesalahan, bagaimana dengan parti politik lain di negara ini yang menerima sumbangan dana?” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Dr Muhammad Faiz berkata, SPRM hanya menjalankan tanggungjawab mereka jika ada laporan.
“Soal ada arahan atau tidak itu saya serahkan kepada persepsi masyarakat untuk menilainya,” katanya.
Ditanya sama ada pemimpin Perikatan Nasional (PN) lain akan disiasat, Dr Muhammad Faiz berkata, beliau percaya siasatan hanya tertumpu kepada parti BERSATU dan tidak membabitkan parti lain.
“Apa yang saya dengar, siasatan tertumpu kepada BERSATU sahaja, parti lain saya tidak tahu,” katanya lapor Berita Harian.
Dr Muhammad Faiz berkata, musuh BERSATU tidak akan berhenti sehingga mereka berkata sabitkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan apa sahaja kesalahan.
Semalam, media melaporkan Bendahari BERSATU, Datuk Mohd Salleh Bajuri, ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.
Sebelum ini Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.
SPRM pada Januari dilaporkan membekukan beberapa akaun milik BERSATU susulan siasatan kes itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.