Dua buruh warga Myanmar didakwa bunuh pemilik kebun

0
149

DUA buruh warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemilik kebun buah naga bulan lepas.

Yan Mai dan Maung Piaw, kedua-duanya berusia 19 tahun mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret V. Vanita.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa secara bersama-sama membunuh Low Seng Poh, 44, dalam kebun buah naga, Tanah Merah Site A, Port Dickson antara pukul 12.15 tengah malam hingga 2 pagi pada 18 Feb lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Mei  untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jilwan Kaur Malkith Singh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)  Noor Azizi Abdull Aziz.

Di mahkamah sama, mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara tanpa dokumen perjalanan sah, dihukum penjara enam bulan dari tarikh tangkap pada 18 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan tidak lebih enam sebatan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here