Jangan bezakan peruntukan kepada negeri pembangkang-Hadi

0
204

TAN Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, melengahkan peruntukan di kawasan pilihan raya dan negeri di bawah pembangkang disifatkan perbuatan tidak tepat dengan prinsip Islam serta demokrasi.

“Tindakan ini bukan sahaja mencalarkan imej Islam malah terlalu jauh daripada ajaran Islam yang menjadi agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelas Presiden Pas itu.

Katanya lagi, sejurus selesai pilihan raya, semua pihak menjadi rakyat kepada mana-mana kerajaan yang memerintah kerana itu adalah konsep demokrasi sebenar.

“Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri termasuklah negeri pembangkang dan rakyat pembangkang, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan.

“Perlu disedari bahawa berlaku banyak ketinggalan terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang banyak berada di kawasan pedalaman, luar bandar, di Pantai Timur, Utara Semenanjung dan Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kini kebanyakan penduduk di luar bandar khususnya orang Melayu dan Bumiputera memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) serta parti di Sarawak dan Sabah manakala Pakatan Harapan (PH) menerima dukungan daripada penduduk bandar dan kawasan campuran.

Justeru, tegasnya tindakan kerajaan PH yang membelakangi kawasan PN, Sabah dan Sarawak tidak mampu mengubah keadaan.

Menurutnya, PN yang mengambil alih kerajaan dalam masa yang singkat ketika bencana pandemik Covid-19 dapat menunjukkan sedikit perubahan.

“Apabila pengundi muda dan luar bandar menunjukkan protes kepada Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana kesilapannya dan menolak PH kerana pembohongan janji dan manifestonya, mereka kemudiannya memberikan sokongan kepada PN.

“Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui tebuk atap, tetapi atapnya bocor dan dinding kacanya yang berkecai,” katanya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 katanya, parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti kecil dan segala yang ‘berpenyakit’ bagi mencukupkan jumlah dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana disaksikan rakyat.

“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat supaya lebih berhati-hati dan bersikap tegas serta berkecuali dan tidak mengizinkan rantau Asia Tenggara dijadikan medan perang kuasa besar sekali lagi.

“Walaupun bajet yang dibentangkan dengan jumlah kewangan yang besar dan janji-janji yang banyak. Ucapannya (Perdana Menteri juga) didahulukan dengan ucapan Nabi Yusuf yang disebutkan dalam al-Quran.

“Nabi Yusuf dilantik oleh Allah (sebagai rasul), Perdana Menteri kita, rakyat Tambun lantik dia. Nabi Yusuf dikawal oleh wahyu, kalau dia (baginda) buat silap, Malaikat Jibril turun betulkan tetapi Perdana Menteri kita, dia ada panasihat yang dilantiknya sendiri, kita tak tahu penasihat dia macam mana, tidak macam Jibril,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here