Ajaran sesat: bekas penyarah asaskan ‘Asmaul Husna’ didakwa

0
200

BEKAS pensyarah yang merupakan pengasas ajaran ‘Asmaul Husna’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini atas pertuduhan menyebarkan ajaran salah kepada masyarakat Islam di kediamannya di Kuala Pilah.

Tertuduh Wan Maseri Wan Mohd, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ruzita Ramli selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menyebarkan ajaran salah kepada sekumpulan orang Islam dengan menyatakan antara lainnya bahawa dirinya merupakan ‘Jurutaip Allah’ dan roh manusia adalah daripada ‘Zat Allah’ dan segala tindakannya adalah berdasarkan arahan terus dari Allah.

Kesalahan itu dilakukan pada 27 Februari 2023, pukul 9.45 pagi di sebuah rumah di Kampung Nuri Balai Panjang, Johol, Kuala Pilah.

Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya.

Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dari kalangan penjawat awam.

“Kes ini telah diketahui secara umum dan meluas bahawa fahaman ajaran ini telah tersebar melalui media sosial dan pengakuan taubat secara rasmi telah dibuat tertuduh melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM),” katanya, lapor Sinar Harian.

Wan Maseri yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM4,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin merupakan penjawat awam dan 4 April depan jam 9 pagi tarikh perbicaraan.

Sebelum ini media melaporkan wanita terbabit bersama 17 pengikutnya ditahan di kediamannya di Johol, Kuala Pilah pada Isnin ketika sedang menyampaikan ‘kuliah’.

Kesemua yang ditahan merupakan wanita berusia antara 20 tahun hingga 60 tahun yang kebanyakannya merupakan suri rumah dan tinggal di luar Negeri Sembilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here