‘Annuar Musa atau sesiapa saja boleh mohon sertai Bersatu’

0
160

BERSATU Kelantan mengambil sikap terbuka sekiranya bekas ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa mahu menyertai parti itu.

Pengerusinya Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, Annuar boleh mengemukakan permohonan seperti amalan biasa sekiranya berminat menjadi ahli parti Bersatu.

“Secara umumnya dia atau sesiapa sahaja boleh mohon jika berminat menyertai Bersatu. Ia proses biasa.

“Secara asasnya tidak ada tawaran tetapi kita terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat. Kita tidak ada (pengembilan) keahlian luar biasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu Kelantan berhasrat untuk menawarkan keahlian parti kepada Annuar.

Ia selepas bekas menteri UMNO itu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti politik selepas lebih tiga bulan dipecat UMNO.

Semalam Annuar dilaporkan berkata dia telah meluangkan masa sejak dipecat untuk bermuhasabah dan memerhatikan arus dan pola politik negara.

“Tiba masanya kini untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya, dan parti yang benar-benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

“Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka,” katanya dalam catatan Facebook.

Sementara itu Kamaruddin berkata mana-mana parti yang disertai Annuar pastinya boleh menimba pengalaman daripada pemimpin itu.

“Dia seorang berpengalaman dengan macam-macam perkara, sudah tentu parti yang disertainya boleh timba pengalaman daripada Annuar,” katanya.

Annuar dipecat daripada UMNO pada Disember tahun lalu.

Annuar sebelum ini dilihat antara tokoh UMNO yang menggesa kerjasama parti itu dengan PAS dan Bersatu, bertentangan dengan keputusan kepimpinan tertinggi.

Susulan prestasi buruk BN dalam PRU lalu pula, dia bersama-sama sejumlah ketua UMNO bahagian lain menggesa Zahid mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai presiden.

Annuar sebelum itu telah digugurkan sebagai calon BN dalam pilihan raya umum 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here