Dewan Rakyat: Ahli Parlimen PH mencelah, ‘kurang ajar’ dan ‘biadap’ kedengaran

0
177

SELEPAS sidang Dewan Rakyat dilihat agak ‘aman’ sejak pembukaannya, perkataan kurang ajar dan biadap kedengaran semula hari ini ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, membahaskan Belanjawan 2023.

Ia membabitkan dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang memanggil Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) dengan gelaran itu.

Gelaran kurang ajar itu diucapkan Datuk Che Mohamad Zulkifly (PN-Besut) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) kepada Chuan How apabila beliau cuba mencelah beberapa kali Hamzah tetapi tidak dibenarkan.

Hamzah ketika itu, menyentuh mengenai peruntukan sekolah daif dan klinik daif berjumlah RM1.2 bilion melalui Belanjawan 2023, di mana jumlah bagi bantuan terbabit adalah lebih besar ketika pembentangan belanjawan sebelum ini oleh kerajaan terdahulu, Oktober lalu.

“Saya mahu penjelasan kerana ia masalah besar kepada rakyat..kalau nak bantu sekolah daif tidak payah kurangkan, kekalkan…begitu juga dengan klinik daif, kata Hamzah.

Chuan How kemudiannya bangkit mencelah tetapi tanpa melalui peraturan mesyuarat biasa yang mana ahli perlu diberi kebenaran oleh pembahas sebelum mencelah.

Chuan How terus mencelah menyatakan peruntukan itu bersifat bantuan khusus membabitkan 400 klinik dan 380 sekolah.

Berikutan itu, Che Mohamad mencelah dengan meminta Chuan How supaya tidak biadap dan menggangu sesi perbahasan itu.

“Janganlah biadap, kacau…ini satu perbuatan kurang ajar Yang Dipertua…ini perbuatan kurang ajar, kamu jangan jadi kurang ajar dalam dewan ini, mengacau,” katanya.

Shahidan pada masa sama turut menggelarkan Chuan How sebagai kurang ajar.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, kemudiannya menegur Chuan How supaya meminta izin Hamzah terlebih dahulu sebelum mencelah.

Johari sebelum ini mengingatkan semua ahli dewan supaya tidak mengeluarkan perkataan tidak berparlimen bagi menjaga keharmonian sidang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here