Belanjawan 2023 indah khabar dari rupa

0
183

Oleh WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL

HAMBAR, dan mengecewakan! Itulah rumusan saya mendengar pembentangan daripada Menteri Kewangan tadi. Di sebalik bunga-bunga bahasa segala janji kononnya Belanjawan 2023 ini akan menghasilkan lonjakan ekonomi tidaklah seperti yang dicitrakan.

Lebih menyedihkan amat-amat sedikit disinggung peranan kerajaan untuk membantu ekonomi Melayu dan Bumiputera: negeri-negeri majoriti Melayu dan Bumiputera di Semenanjung seperti Kedah, Kelantan, Terengganu tidak langsung diberi insentif dan peruntukan pembangunan yang dapat mengubah nasib rakyat di sana. Tiada projek pemangkin ekonomi yang mahu disebut walhal keutamaan dari segi keadilan ekonomi adalah di sana seperti yang dilaporkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Dendam politik juga belum surut: Peruntukan untuk semua ahli parlimen pembangkang dinafikan terus. Walhal kami mendapat mandat yang besar dan jelas daripada rakyat! Manifesto Pakatan Harapan jelas berjanji memberi peruntukan sama adil buat semua wakil rakyat. Nampaknya seperti janji PTPTN dan AUKU dalam manifesto – semua itu DUSTA belaka.

Lebih malang, tiada belas ihsan untuk peneroka FELDA yang mana hutangnya telah Tan Sri Muhyiddin Yassin langsaikan tapi kini dibatalkan semula. Benda baik teruskan saja, mengapa dibuat begini? Adakah kerana majoriti pengundi FELDA memilih Perikatan Nasional tempoh hari?

Lain pula nikmatnya untuk negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP: lapangan terbang dibesarkan tapi untuk Kedah, dibatalkan projek lapangan terbang untuk Kulim yang mampu mengangkat taraf sosio ekonomi dan industri orang Melayu di sana.

Banyak lagi perkara tempang yang kami akan angkat dan bahaskan minggu hadapan. Bak kata pepatah: “the devils are in the details”!

Oh lupa nak tanya: syarikat swasta mana nak bangunkan pelabuhan di Pulau Carey yang diumumkan tadi? Khabar angin bertiup kencang dari kalangan orang-orang pelabuhan: jangan harus digadaikan kedaulatan negara dalam perang proksi kuasa besar!

Kami akan semak dan imbang nanti semua butiran yang tempang ini dalam perbahasan minggu hadapan.

Penulis ialah Ketua Armada Bersatu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here