‘’Subsidi mana yang sudah dikurangkan?- tanya Hishammuddin

0
152

AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Kementerian Kewangan menurunkan peruntukan subsidi tahun ini.

Katanya, angka itu menurun berbanding RM70 bilion seperti yang diunjurkan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zarful Abdul Aziz, tahun lalu.

“Subsidi sudah dikurangkan daripada RM70 bilion kepada RM64 bilion. Jadi, apa yang jadi tanda tanya sekarang. Subsidi mana yang sudah dikurangkan? Dan, harga apa yang akan meningkat kerana kekurangan subsidi berkenaan,” katanya lapor Berita Harian.

Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan kerajaan menyediakan dana RM64 bilion tahun ini dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.

Beliau berkata, sejumlah besar dana itu untuk meminimum kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan, di samping bertujuan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Sementara itu,  Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan gembira tumpuan terus diberikan kepada perumahan anggota tentera.

“Saya harap apa yang sudah pun diperuntuk dalam belanjawan kali ini untuk perumahan dapat diselaraskan dengan ‘Blueprint’ (pelan induk) perumahan kita yang sudah pun dibentangkan dulu sehingga 2023,” katanya.

Berkait selenggaraan dan perolehan aset keselamatan, beliau berkata, pengumuman pembinaan dan pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan diteruskan juga menggembirakan.

“Ini menggembirakan saya kerana mahu menunggu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan mengambil masa. Jadi ‘stop-gap measure’ yang kita fikirkan dulu ialah untuk memperolehi LMS kita.

“Cuma saya harap LMS fasa kedua ini akan dilengkapkan dengan persenjataan yang mencukupi, dalam kita menunggu mahu hidupkan semula projek LCS,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here