Sarjan maut: Polis jalankan siasatan telus,tidak lindungi mana-mana pihak -KPN

0
216

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan dengan telus untuk mengetahui punca seorang anggota polis berpangkat sarjan ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tembakan di kawasan belakang Balai Polis Bayan Lepas di Pulau Pinang, minggu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM tidak pernah menutup atau melindungi sebarang salah laku mana-mana pihak termasuk anggotanya sendiri.

Beliau berkata ketika ini PDRM sedang menunggu laporan bedah siasat daripada pasukan perubatan sebelum melakukan siasatan lanjut.

“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden terbabit sehingga siasatan kes ini selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Selangor dan Pengerusi Perkep Selangor di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, sepucuk pistol turut ditemukan pada mayat mangsa berusia 51 tahun yang bertugas di balai berkenaan dengan kesan tembakan pada leher, dada dan kepala.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani memohon orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat yang dipotong enam bahagian di tepi jalan di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran susur Rawang Selatan, bulan lepas untuk tampil memberi keterangan

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu walaupun ia dianggap tidak relevan diminta salurkan maklumat kerana ia membantu pasukan penyiasat dalam menyelesaikan kes itu.

“Tambahan pula, kes berkenaan berlaku di kawasan yang tidak mempunyai kamera litar tertutup dan ia menyukarkan siasatan polis dalam kes ini,” katanya.

Mengenai laporan polis yang dibuat Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi menafikan tuduhan penulis blog Raja Petra Kamarudin dalam satu artikel pada April tahun lepas, Acryl Sani berkata perkara itu masih dalam siasatan dan perkembangan lanjut kes itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan media dalam masa terdekat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here