Polis tahan tiga lelaki disyaki baling mercun ke rumah jiran

0
201

POLIS menahan tiga suspek lelaki berusia 19 sehingga 41 tahun kerana terlibat membaling mercun buatan sendiri ke sebuah rumah di Felda Kemahang 3, di sini pada 17 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan di tiga rumah berasingan di Felda Kemahang 3, Selasa lalu.

“Tangkapan dilakukan susulan polis menerima laporan seorang mangsa yang merupakan peneroka di Felda itu berkaitan bunyi letupan pada awal pagi 17 Feb lalu,“ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya mangsa terdengar bunyi  beberapa orang berjalan di luar rumahnya sebelum terdengar bunyi dua letupan yang kuat di hadapan rumah di Felda berkenaan.

Mohd Haki berkata siasatan di tempat kejadian menemukan serpihan besi disyaki komponen bahan letupan buatan sendiri dan bukti itu telah dihantar ke unit forensik untuk dianalisis.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah  telah melakukan serbuan terhadap rumah ketiga-tiga suspek terbabit.

“Serbuan di rumah pertama suspek bertindak melarikan diri setelah kehadiran polis namun dapat ditahan setelah berlakunya pergelutan,” katanya sambil menambah polis turut menemukan 12 biji pil yaba di dalam beg suspek.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas rumah dua lagi suspek, polis menemukan satu paket mercun bola dan sebuah beg silang yang mengandungi sumbu dan serbuk belerang (karbait) di dalam sebuah almari di rumah itu.

“Pemeriksaan lanjut, pihak kami telah menjumpai satu guni berwarna putih di dalamnya berisi tiga paket mercun bola yang disimpan dalam sebuah almari lain,” katanya menambah hasil ujian saringan mendapati dua daripada suspek positif methaphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here