Penuntut universiti ditahan seludup 1kg ganja guna kurier

0
317

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CUBAAN seorang penuntut universiti menyeludup 1 kilogram ganja menggunakan perkhidmatan kurier dari Thailand gagal selepas berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor pada 9 Februari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, penuntut lelaki berusia 21 tahun itu ditahan selepas pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang pada pukul 12.15 tengah hari.

“Serbuan dan sitaan satu bungkusan kotak mengandungi ganja oleh Unit Narkotik JKDM Johor itu dibuat hasil maklumat dan risikan dijalankan Unit Mel dan Kurier JKDM Johor Bahru.

“Siasatan awal mendapati ganja tersebut diimport masuk ke Malaysia melalui perkhidmatan syarikat penghantaran dari Thailand di mana pengirim telah membuat pengikraran palsu sebagai laci plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.

Sazali berkata, hasil pemeriksaan rapi ke atas bungkusan kotak yang dihantar oleh wakil syarikat penghantaran berkenaan mendapati anggaran keseluruhan nilai barang kes yang dirampas adalah RM2,502.

Katanya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan ganja tersebut untuk kegunaan sendiri namun pihaknya masih menyiasat sama ada bahan terlarang itu turut diedarkan bagi pasaran tempatan.

Jelasnya, ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis ganja dan pihak JKDM sedang mengesan abang suspek yang juga penuntut universiti berusia 24 tahun bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, trend pembelian bahan terlarang seperti dadah dilihat semakin menunjukkan peningkatan apabila kaedah penghantaran itu dikesan banyak digunakan dalam penyeludupan dadah.

“Ini kerana kaedah itu sukar dikesan pihak berkuasa kerana sesiapa pun mempunyai akses untuk mendapatkan bekalan tersebut sekiranya tahu ‘website’ yang menjualnya,” ujar beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here