Campak mayat lelaki tempatan dalam tasik, dua warga India didakwa

0
204

DUA lelaki warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki tempatan yang mayatnya ditemui di sebuah tasik dekat Cyberjaya 12 Februari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, pagi ini.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh, Barathi, 23, dan Sekar, 42, didakwa telah membunuh mangsa, Siva Vadivaloo sekitar pukul 3 pagi di kandang lembu di bawah jambatan Lebuhraya Lingkaran Putrajaya-Cyberjaya pada 11 Februari lalu.

Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, lapor UtusanTV.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi manakala kedua-kedua tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Majistret Ayuni kemudian menetapkan 25 Mei depan bagi sebutan semula kes selain tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

Sebelum ini pada 13 Februari lalu, media melaporkan mayat seorang lelaki ditemui terapung di dalam sebuah tasik di belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah bersama sebuah pacuan empat roda.

Susulan kejadian itu polis menahan tiga warga India yang bekerja di pusat mencuci kereta di Puchong dan seorang wanita berbangsa India warga tempatan berusia 20-an.

Kes dipercayai akibat berebut wanita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here