62 jemaah umrah Malaysia terkandas, ditahan pihak berkuasa Indonesia

0
178

PIHAK berkuasa Indonesia menahan 62 jemaah umrah dari Malaysia susulan tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.

Mereka semuanya terkandas di Lapangan Terbang Soekarno – Hatta, Jakarta selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 2 petang semalam.

Jemaah berkenaan dijadualkan untuk transit di Jakarta sebelum berlepas ke Jeddah pada pukul 7 petang semalam.

Kumpulan jemaah itu dilaporkan akan menunaikan ibadah umrah bermula semalam hingga 7 Mac depan.

Namun, kesemua mereka tidak dibenarkan berlepas berikutan pihak agensi pelancongan tidak membeli tiket balik dari Jeddah.

Status penerbangan pulang yang ‘mengelirukan’ menyebabkan pihak berkuasa lapangan terbang tidak membenarkan kumpulan jemaah ini terbang meskipun tiket ke Jeddah menggunakan pesawat Saudi Airlines sudah dibeli.

Rata-rata jemaah meluahkan rasa kecewa berikutan pihak agensi cuai dalam pembelian tiket.

Seorang jemaah, Hamizah Basir berkata, mereka
sepatutnya terbang ke Jeddah pukul 7 petang waktu Indonesia, tetapi tidak dibenarkan berlepas kerana tiada tiket pulang.

“Kecuaian pihak agensi travel menyebabkan kami tersidai di airport sejak pukul 6 petang tadi,” katanya, lapor Sinar Harian.

Jemaah lain, Dewi Hidayanti Harun,57, kecewa dengan pihak pengurusan agensi travel berkenaan kerana banyak kali gagal menunaikan janji kepada para jemaah.

“Saya sekeluarga alami masalah tiket sejak dari bulan Oktober lagi. Sudah lima kali tiket saya ditunda oleh pihak syarikat sehingga la semalam baru dapat tiket penerbangan.

“Apa yang menimbulkan persoalan sekarang ini adalah macam mana pihak agensi pelancongan boleh terbangkan kami tanpa beli tiket pulang?

“Mula-mula kami dijanjikan akan terbang terus ke Madinah. Tapi tiket berubah apabila diberitahu perlu transit di Jakarta.

“Bila sampai di Jakarta, kami tidak dibenarkan berlepas ke Jeddah. Jadi, kami kena tunggu sampai bila,” soalnya.

Sementara itu, usaha media menghubungi wakil agensi pelancongan tersebut gagal apabila panggilan tidak dijawab.

Difahamkan, pihak pengurusan syarikat yang beribu pejabat di Putrajaya itu sedang bermesyuarat bagi menangani masalah jemaah terkandas itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here