Peletakan jawatan Wan Saiful tanda bertanggungjawab, bukan seperti ‘sebelah sana

0
166

KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan selaku Ketua Penerangan Bersatu sebagai langkah tepat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, langkah diambil Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu sebagai tanda bertanggungjawab walaupun beliau baru sahaja didakwa di mahkamah.

Katanya tanpa merujuk mana-mana pihak, pendekatan itu sama sekali berbeza dengan pihak di ‘sebelah sana’.

“Langkah tepat Datuk Wan Saiful Wan Jan. Walaupun baru sahaja didakwa dan belum didapati bersalah, terus umumkan letak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab. Bukan seperti ‘sebelah sana..’,” katanya di Facebook hari ini.

Terdahulu, Wan Saiful mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu selepas berdepan pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Beliau juga tidak akan memegang sebarang jawatan eksekutif dalam parti sehingga namanya dibersihkan melalui proses perundangan.

Sementara itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Parlimen mengesahkan peletakan jawatan Wan Saiful selaku Ketua Penerangan parti itu, berkuat kuasa hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here