Letak jawatan bukan bermakna Wan Saiful bersalah – Muhyiddin

0
138

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Penerangan parti itu bukan bermakna beliau bersalah dalam kes mahkamah yang dihadapinya.

Sebaliknya, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu supaya tidak timbul salah pandangan terhadap parti.

Ahil Parlimen Pagoh itu berkata, beliau sudah berjumpa dengan Wan Saiful pagi tadi dan setelah berbincang, bersetuju untuk meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini.

“Ia bukan kerana kita mengatakan dia sudah bersalah, tidak. Ini satu set standard kerana dia sudah berhadapan dengan tuduhan, supaya tak timbul salah pandangan terhadap Bersatu, beliau sendiri menyatakan akan meletakkan jawatan.

“Ini satu tindakan yang saya hargai,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memaklumkan, Wan Saiful telah menghantar surat peletakan jawatan berkuat kuasa hari ini.

“Ia satu sifat mulia yang saya sanjung supaya dengan cara ini, kita dapat menjawab atas dasar bermaruah. Ini bukan menghukum, tapi dia secara sukarela,” ujar Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan akan dipimpin oleh seorang daripada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang akan dilantik.

Pelantikan itu, katanya, akan dibuat secepat mungkin memandangkan parti itu sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jelasnya, individu yang akan dinamakan nanti bakal meneruskan kerja-kerja baik yang telah dibuat oleh Wan Saiful.

“Langkah yang diambil ini akan memudahkan penggantinya menjalankan tugas kerana penerangan ini penting untuk menyebar luas dasar perjuangan, matlamat dan agenda parti serta manifesto yang akan kita keluarkan untuk PRN nanti,” jelasnya, lapor Astro Awani.

Terdahulu, Wan Saiful mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu selepas berdepan pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here