Disyaki terima rasuah Mitsubishi Lancer CT9A, penolong jurutera PBT direman

0
290

SEORANG penolong jurutera kanan di Majlis Perbandaran Bentong direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana dipercayai menerima rasuah iaitu sebuah kereta Mitsubishi Lancer CT9A pada 2021.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Aisyah Ahmad terhadap lelaki berumur 49 tahun itu.

Suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Raub semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Lelaki berkenaan dipercayai telah menerima kenderaan itu daripada seorang kontraktor yang telah mendapat projek di bawah seliaannya dengan membocorkan maklumat anggaran harga jabatan kepada kontraktor itu bagi pengisian borang tender.

Terdahulu, seorang kontrator lelaki berumur 44 tahun turut direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes sama selepas ditahan di SPRM Cawangan Raub pada Isnin.

Dalam kes berasingan, dua kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM5,940.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah terhadap suspek lelaki dan wanita masing-masing berumur 41 dan 42 tahun.

Mereka ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM di sini, semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 23 Feb 2022, lelaki terbabit selaku ketua jabatan bersama wanita yang berkhidmat sebagai penolong operasi dipercayai berpakat memperakukan kerja bagi menyediakan makan dan minum serta peralatan berkaitan untuk peserta kursus pada 24 dan 25 Feb 2022, sedangkan ia tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan kesemua tangkapan berkenaan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here