Kes Wan Saiful: Azmin yakin rakyat dapat nilai gelagat kerajaan PH-BN

0
180

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin rakyat dapat membuat penilaian dengan matang gelagat kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang cuba menutup kelemahan mereka mentadbir negara dengan memberi tekanan kepada Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu menegaskan beliau yakin PN akan terus mendapat sokongan lebih besar daripada rakyat, terutama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Tindakan yang diambil memberi satu lagi isyarat bahawa PH dan UMNO tidak mampu mentadbir kerana mereka tidak menunaikan apa yang yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Sudah masuk tiga bulan tetapi tidak ada sebarang langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan hari ini untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di pekarangan Komplaks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini (21 Februari 2023) ketika diminta mengulas pertuduhan dikenakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Terdahulu, Wan Saiful dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing didakwa terhadap dua tuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah daripada syarikat yang menerima kontrak projek Jana Wibawa.

Wan Saiful, 48, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan Adam Radlan, 42, seorang ketua pegawai eksekutif syarikat, masing-masing mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka oleh pihak pendakwaan secara berasingan di hadapan Hakim, Azura Alwi dan Hakim, Suzana Hussin.

Susulan pengakuan tidak bersalah yang dibuat, Wan Saiful diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, selain melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap dua bulan sekali hingga kes selesai.

Manakala, Adam Radlan diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan campuran PH-BN sedang membuat pendakwaan terpilih secara terancang untuk melemahkan musuh politik mereka dengan menyasarkan parti lawan.

Beliau berkata secara terang-terangan wujud perancangan pihak kerajaan untuk memberi tekanan kepada parti pembangkang menjelang PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi dan parti Bersatu antara sasaran utama kerana menyedari rakyat menolak kerajaan campuran.

“Pendakwaan terpilih yang terancang, setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti, justeru perlembagaan parti membenarkan sumbangan diterima daripada ahli orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti Bersatu.

“Dan ini termasuk dana yang diterima daripada ahli-ahli perniagaan yang menyokong perjuangan parti dan setakat ini tidak ada satu pun undang-undang khusus untuk pembiayaan politik di Malaysia.

“Hari ni parti Bersatu telah menjadi sasaran pendakwaan terpilih, apabila menerima sumbangan dana politik tiba-tiba telah menjadi satu kesalahan jenayah.

“Beberapa orang pemimpin Bersatu telah didakwa di mahkamah kerana menerima sumbangan dana untuk menjalankan aktiviti parti,” katanya pada sidang media di kompleks mahkamah Jalan Duta pagi ini, lapor Agenda Daily.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here