Armada Bersatu buat laporan terhadap PM, TPM

0
202

Oleh RIZQI ZABIDI

SATU laporan polis dibuat Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berikutan tohmahan dan pernyataan didakwa mengelirukan terhadap parti itu serta pimpinannya, yang berlegar sejak dari terbentuknya kerajaan Perpaduan beberapa bulan lalu.

Laporan tersebut dibuat Ketua Penerangan Armada, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir yag mendakwa tindakan tersebut menggambarkan wujud satu konspirasi jahat terhadap kepimpinan Bersatu.

Katanya, kata-kata tersebut tampak telah membawa kepada pertuduhan dihadapi Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, hari ini.
Menurutnya, fitnah itu juga dibuat bagi tujuan politik bagi menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam serta menyemarakkan keresahan rakyat terhadap Muhyiddin, Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

“Konspirasi jahat ini dapat dilihat apabila Ahmad Zahid yang menghadapi lebih 40 pertuduhan di mahkamah, pernah mengumumkan bahawa kluster mahkamah yang baharu akan datang dari PN dan Bersatu.

“Konspirasi ini juga terlihat apabila Anwar mengumumkan bahawa kerajaan di bawah Muhyiddin telah menyelewengkan RM600 billion pakej rangsangan ekonomi.

“Dan nilai RM600 billion itu kemudian berubah-ubah sebelum timbul pula cerita menyatakan Muhyiddin serta Bersatu mendapat komisen antara tiga hingga lima peratus daripada kontraktor-kontraktor projek kerajaan, hingga memberi gambaran palsu kononnya PN dan Bersatu mendapat habuan bernilai RM4.5 bilion,” katanya.

Dalam laporan polisnya itu, Mohd. Ashraf turut meminta pihak polis menyiasat dakawaan menyatakan Anwar membuat ugutan terhadap Muhyiddin serta kepimpinan PN.

“Perdana Menteri pernah memberikan peringatan kepada Muhyiddin agar jangan mencabarnya kerana kononnya terdapat proses dan prosedur tidak dipatuhi selain ada beberapa syarikat berkepentingan atau berkaitan keluarga Presiden Bersatu itu terlibat dengan penyelewengan tersebut.

“Selain itu Anwar juga turut pernah ‘menasihatkan’ Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan agar tidak bersikap gopoh kerana beliau Menteri Kewangan dan memiliki fail berhubung hal tersebut,” katanya.

Justeru katanya, tindakan membuat laporan polis itu adalah bagi mengekang perbuatan jenayah dan salah guna kuasa pemimpin kerajaan yang mempergunakankan agensi penguat kuasa untuk menyalah gunakan proses undang-undang bagi membawa ‘kerosakan’ terhadap Muhyiddin serta Bersatu.

“Perbuatan mereka akan melumpuhkan demokrasi Malaysia dan amat bercanggah dengan keluruhan Perlembagaan serta undang-undang. Saya memohon pihak polis menyiasat perkara ini dan mendakwa pihak-pihak terbabit demi menjamin keamanan serta keselamatan negara,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here