Operasi Bersepadu Khazanah: Lebih RM4.96 juta rampasan tahun ini

0
186

SERAMAI 11 individu termasuk seorang warga asing ditahan dalam lapan siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bagi membendung perdagangan, pencerobohan dan perburuan hidupan liar tanpa permit bermula 1 Jan hingga Khamis lepas di seluruh negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata operasi itu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM4.96 juta dengan satu daripada serbuan itu mendapat penghargaan daripada Global Tiger Forum iaitu sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan bagi melindungi habitat asal harimau.

“Penghargaan itu diperoleh apabila Biro Jenayah Hidupan Liar serta Perisikan Siasatan Khas (PSK) pihak polis berjaya menahan seorang lelaki di Selangor dan merampas 69 hidupan liar dengan jumlah rampasan bernilai RM1.2 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Noorsiah berkata dalam serbuan OBK tahun lepas, sebanyak 23 kes direkodkan membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM2.68 juta.

Katanya hasil operasi itu, pelbagai hidupan liar daripada spesies yang dilindungi berjaya diselamatkan seperti burung murai batu, blue monkey, kucing batu, burung hill myna, burung helang, musang, iguana dan ayam hutan.

Beliau berkata dalam operasi tahun lepas juga, polis berjaya membongkar kegiatan penyeludupan haiwan melalui jalan laut menggunakan bot nelayan selepas dua lelaki termasuk seorang lelaki warga Vietnam ditahan di Kelantan.

Menurutnya hasil penahan itu, polis berjaya merampas 59 sangkar besi berisi musang dan satu sangkar burung ruak-ruak.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here