PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang didakwa sudah tidak ada pendirian moral untuk bercakap soal kredibiliti politik sesiapapun, termasuk Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana Kit Siang sebenarnya telah menggadai prinsip perjuangan dan maruah dirinya apabila berdiam diri melihat Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat rundingan pintu belakang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.
“Mana suara Uncle Lim apabila Presiden UMNO yang masih mempunyai 47 pertuduhan mahkamah dilantik dalam Kabinet sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Adakah Uncle Lim sanggup terima kleptokrat dan perasuah demi kuasa dan kedudukan?
“Mana suara Uncle Lim dalam isu nepotisme membabitkan Anwar Ibrahim? Adakah Uncle Lim takut orang tersedar bahawa dia juga mengamalkan nepotisme untuk memberi tempat dalam parti kepada anak dan menantu sendiri?
“Saya faham Uncle Lim terpaksa bercakap walaupun dah bersara sebab setakat ini Anwar belum bagi jawatan kepada anak lelaki harapan Uncle Lim.
“Saya ucapkan good luck, Uncle Lim. Semoga anak dan menantu Uncle Lim diangkat oleh Anwar. Lagipun perangai nepotisme dah lebih kurang sama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Lim Kit Siang dalam ruangan Malaysiakini mengkritik Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin, telah melakukan dua kesilapan pada hari pertama selepas istiadat pembukaan Parlimen ke-15 oleh Yang di Pertuan Agong pada Isnin, 13 Februari lalu.
Menurut Wan Saiful, beliau terpaksa menegur Kit Siang kerana meskipun sudah berasa, veteran DAP itu terlupa untuk mencermin muka sendiri.
“Saya antara generasi baru dalam Dewan Rakyat. Saya tahu sejarah dan saya hormat Lim Kit Siang selaku pemimpin veteran dalam arena politik tanah air.
“Tetapi apabila Uncle Lim yang dah bersara terlupa untuk mencermin muka sendiri, saya terpaksa tegur,” tambahnya, lapor WartaRakyat.