Pemilik kedai dobi didakwa pecah amanah lebih RM3.2 juta

0
200

SEORANG pengusaha kedai dobi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan mesin dobi dan wang tunai berjumlah lebih RM3.2 juta, empat tahun lepas.

Terrence Conrad Fernandez, 43, didakwa melakukan perbuatan itu dengan tidak menghantar sejumlah mesin dobi bernilai lebih RM3.2 juta, milik sebuah syarikat ke sebuah premis yang disewa di Pulau Pinang seperti diamanahkan.

Bapa kepada dua anak itu sebaliknya meletakkan kesemua mesin dobi tersebut di sebuah premis yang disewa syarikatnya di Kuantan, Pahang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Krubong, Melaka pada Januari 2019.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak membayar wang sewaan milik sebuah syarikat sebanyak RM24,000 kepada premis yang disewa di Pulau Pinang bagi tujuan meletakkan sejumlah mesin dobi berkenaan, sebaliknya memasukkan duit sewaan itu ke dalam akaun miliknya untuk membayar sewa premis di Kuantan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit di Blok A, Kelana Centrepoint, Petaling Jaya, Selangor pada 31 Jan 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Abuar Sharuddin manakala tertuduh diwakili peguam James S. Thanjong Tuan.

Hakim Darmafikri Abu Adam membenarkan Terrence diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Mahkamah menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here