Pembantu tukang masak mengaku tak bersalah sebabkan kematian majikan

0
216

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG pembantu tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian ke atas seorang warga emas, awal bulan ini.

Tertuduh, Azhari Hamid, 56 membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif.

Bersandarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan gopoh hingga menyebabkan kematian mangsa, Ishak Othman, 69.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang sebuah restoran di Jalan Stadium, Alor Setar pukul 5.15 petang, 4 Februari lalu.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam, Pyara Singh.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac depan sementara menanti laporan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kematian seorang pemilik restoran yang tiba-tiba rebah setelah dikatakan bergaduh dengan pekerjanya sendiri.

Kejadian itu pada awalnya dikatakan berpunca daripada perselisihan faham antara anak mangsa dan isteri suspek melibatkan bekas peralatan makanan yang sudah dicuci di restoran tersebut.

Mangsa yang terdengar perselisihan faham itu lalu dipercayai masuk campur menyebabkan suspek tidak puas hati lalu berlaku pula pergaduhan antara mereka.

Sebaik pergaduhan itu dileraikan, mangsa bagaimanapun tiba-tiba rebah dengan dia kemudiannnya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi kejadian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here