Nahas dua buah lori di Rembau

0
250

SEORANG pemandu lori maut selepas lori yang dipandunya terbabit nahas dengan sebuah lori lain di Kilometer 231.7 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara), Rembau, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Muhammad Fazuan Mohd Robit, 35, beralamat di Felda Palong 10, Jempol disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, kemalangan berkenaan membabitkan lori jenis Isuzu yang dipandu mangsa, manakala sebuah lori lagi jenis Volvo yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 34 tahun yang masing-masing tidak membawa muatan pada masa kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah Melaka menghala ke Shah Alam. Semasa sampai di tempat kejadian, mangsa mengekori rapat di belakang lori kedua telah hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori yang berada di hadapan atas lorong yang sama di lorong perlahan.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala di tempat kejadian. Mayat mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Hazri lagi, pemandu dan kelindan berusia 26 tahun bagi sebuah lori lagi yang terlibat kemalangan yang beralamat di Kedah tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya, lapor Kosmo!.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here