Gempa bumi Turkiye: 39 mangsa ditemukan SAR Malaysia

0
246

PASUKAN penyelamatan malaysia bagi Misi Bantuan Mencari dan Menyelamat (SAR) Turkiye telah menemukan seramai 39 mangsa gempa bumi sepanjang lapan operasi dijalankan di Gaziantep, Turkiye.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), daripada 39 mangsa yang ditemukan, lima daripadanya masih hidup manakala selebihnya telah meninggal dunia.

“Seramai 143 orang pegawai daripada Malaysia yang menyertai Ops SAR Turkiye pada kali ini termasuk tiga pengamal media.

“Pasukan MAS 01 dianggotai oleh ena. orang pegawai JBPM dan 64 orang pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“Manakala, pasukan MAS 10 pula dianggotai oleh 30 orang pegawai JBPM, 20 orang pegawai SMART, 20 orang pegawai Angkatan Pertahan Awam (APM) serta tiga orang pengamal media,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut, kesemua pegawai ditempatkan di Base Camp, Nurdagi Stadium, Gaziantep, Turkiye.

“Kesemua 36 pegawai JBPM berada dalam keadaan yang sihat dan baik malah cuaca juga cerah dengan suhu 4 darjah Celsius,” tambah kenyataan itu lagi.

Pada Isnin, Wisma Putra memaklumkan, Malaysia menghantar 142 anggota penyelamat dan dua ekor anjing pengesan (K9) bagi menyertai misi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye, sekali gus menjadi pasukan operasi pertama dari negara ASEAN yang tiba di negara itu.

Pasukan itu diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang turut disertai SMART, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JBPM dan APM itu antara yang terawal sampai di tapak bencana di Gaziantep.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin minggu lalu meragut ribuan nyawa.

Angka kematian akibat gempa bumi di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang, manakala jumlah mangsa cedera seramai 40,910 setakat ini lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here