PATI Myanmar cari kerja di Malaysia dicekup di sempadan

0
180

PERCUBAAN 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar membolosi negara ini untuk mencari pekerjaan tidak kesampaian.

Kesemua mereka ditahan ketika cuba masuk ke negara ini menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.

Menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), pihaknya mengesan dan menahan sekumpulan orang awam di kawasan ladang getah kerana cuba memasuki Malaysia secara haram kira-kira pukul 6 pagi, semalam.

“Kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba memasuki Malaysia untuk mencari pekerjaan.

“PATI yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita yang berumur antara 20 hingga 44 tahun.

“Turut dirampas adalah 12 telefon bimbit, wang dalam mata wang Malaysia, Thailand dan Myanmar, dua pasport serta sembilan kad pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM8,139.

Kesemua PATI kemudian diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here